Search

SULTAN JOHOR KURNIA WANG LEBIHAN BAYAR CUKAI KEPAD...

  • Share this:

SULTAN JOHOR KURNIA WANG LEBIHAN BAYAR CUKAI KEPADA YSIJ UNTUK TERUS MEMBANTU RAKYAT MEMERLUKAN

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah lebihan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bernilai RM1.4 juta bagi tahun 2019 yang diterima Baginda akan dikurniakan kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Baginda Tuanku Sultan, bertitah YSIJ secara aktif menghulurkan pelbagai sumbangan kepada rakyat termasuk sumbangan makanan setiap minggu dan pelbagai bantuan lain.

DYMM Sultan Johor, bertitah lebih bayaran itu diserahkan kepada Baginda bagi pembayaran cukai di atas syarikat-syarikat milik Keluarga DiRaja Johor.

“Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada LDHN di atas pemulangan lebihan bayaran cukai ini, dimana saya akan mengurniakan wang berkenaan kepada YSIJ.

“Ini juga bagi membolehkan YSIJ terus menyampaikan pelbagai sumbangan untuk rakyat bagi meringankan beban mereka khususnya yang banyak terkesan akibat pandemik COVID-19,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (29 September).

Terdahulu, DYMM Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Mohd Jaafar Embong dan Pengarah LHDN Johor, Encik Md Kamal Johan di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

Bermula pada April tahun lalu, Baginda Tuanku Sultan secara berterusan mengurniakan bantuan bekalan makanan kepada golongan memerlukan diseluruh Johor setiap minggu.

Bantuan juga disampaikan kepada mangsa-mangsa bencana alam, selain warga emas dan juga pesakit-pesakit kronik tanpa mengira agama dan bangsa.

Selain itu, beberapa kediaman yang rosak akibat bencana alam turut dibaikpulih menerusi YSIJ bagi meringankan beban rakyat.


Tags:

About author
not provided